Tuesday 8 July 2014

CUIT-CUIT UST KAY - Edisi Tazkirah Ramadhan-1

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Selasa, 10 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN KESABARAN - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)
Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,
هُوَ شَهْرُ الصَّبْرِ , وَ الصَّبْرُ ثَوَابُهُ اْلجَنَّةَ
“Bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah masuk syurga.”
PENCERAHAN :
Di antara nama lain bulan Ramadhan ialah Syahru As-Sabr dan Syahru Al-Muwasah. Syahru Sabr bermakna bulan mendidik kesabaran atau melaksanakan perintah ibadah puasa itu sendiri adalah bukti kesabaran, kerana menurut ulama ruang lingkup kesabaran itu ada tiga iaitu;
1. Sabar dalam melaksanakan ketaatan semua perintah Allah SWT hingga ajal menjemput.
2. Sabar dalam menghindari maksiat atau dalam meninggalkan laragan Allah.
3. Sabar dalam menghadapi musibah atau situasi yang tidak diharapkan yang telah berlaku.
Ibnu Abdil Barr rahimahullah menjelaskan,“Dalam kamus Lisanul Arab, puasa juga bermakna sabar. Abu Bakar Ibnul Anbari mengatakan,”Shaum (puasa) itu dinamakan sabar, kerana puasa adalah menahan diri dari makan, minum, berkumpul suami-isteri serta menahan diri dari syahwat.”
Sabar adalah intipati ajaran Islam dan iman. Bersabar ertinya mengendalikan dan memaksa nafsu untuk melaksanakan ketentuan syariat. Sabar adalah saudara kembar dengan syukur, kerana syukur tidak akan sempurna tanpa kesabaran. Barangsiapa yang bersabar, maka ia telah bersyukur atas nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepadanya. Jika kepentingan nafsu dan agama saling bertentangan kemudian kita mengutamakan kepentingan agama, maka bererti kita telah mewujudkan maqam (kedudukan) sabar tersebut.
Kesabaran memiliki berbagai keutamaan dan manfaat. Allah berfirman;
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang akan dibalas dengan pahala tanpa batas.”
(QS Az-Zumar :10)
وَلَنَجْزِي
َنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Dan kami pasti akan memberikan balasan kepada mereka yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (QS An-Nahl : 96)
Bulan Ramadhan adalah waktu paling tepat untuk melatih kesabaran kerana di bulan ini kita diwajibkan berpuasa dan ibadah puasa adalah separuh dari pada kesabaran. Rasulullah SAW bersabda:
اَلصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ وَ لِكُلِّ شَيْئٍ زَكَاةٌ , وَ زَكَاةٌ اْلجَسَدِ الصَّوْمُ
“Puasa itu setengah dari kesabaran. Bagi tiap-tiap perkara ada zakatnya dan zakatnya badan ialah puasa.”
Antara bentuk-bentuk kesabaran orang yang berpuasa ialah ;
1. Sabar terpaksa bangun lebih awal daripada biasa untuk mengambil keberkatan bersahur.
2. Sabar, lebih lagi kepada para isteri yang kena masak lebih awal dan selepas itu sabar pula mengejutkan anak-anak dan suami yang liat hendak bangun sahur.
3. Sabar sepanjang 13 - 14 jam berpuasa pada waktu siangnya, menahan lapar dan dahaga dan keinginan nafsu syahwat.
4. Sabar sepanjang berpuasa daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengurang atau membatalkan pahala puasa seperti mengumpat dan menonton rancangan Sinetron dan Drama Filipina.
5. Sabar menahan ammarah bila sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan kita.
6. Sabar dalam keadaan perut lapar tetapi kena bekerja juga seperti biasa.
7. Sabar ketika tadarus Al-Quran pada bulan puasa dalam keadaan tekak dan bibir yang kering.
8. Sabar ketika pergi ke bazar Ramadhan melihat aneka makanan dan minuman yang mencolok mata, hidung dan perut.
9. Sabar bila pelbagai makanan minuman telah terhidang di dapur untuk menunggu waktu berbuka puasa.
10. Sabar untuk melaksanakan Solat Sunat Terawih 8 raka'at apatah lagi kena banyak bersabar sekiranya 20 raka'at.
Antara ciri orang bertaqwa ialah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi sebarang cubaan dan ujian daripada Allah sehingga imannya semakin kuat. Oleh itu ibadat puasa merupakan antara proses dalam menanam kukuh sifat sabar dalam diri umat Islam. Rasulu
llah SAW bersabda;
الإيمان هوَ الصَّبْرُ وَ السَّمَاحَةُ
“Iman adalah kesabaran dan suka memaafkan.”
Dari Abu Hurairah ra beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda, “Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Semua amal anak Adam adalah baginya kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu bagi-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Puasa adalah perisai, apabila kamu sedang puasa janganlah berkata keji (memaki), janganlah berteriak-teriak dan janganlah berbuat perkara yang bodoh. Apabila ada seseorang yang mencacinya atau memeranginya maka katakanlah ‘Sesungguhnya aku sedang puasa… .” (HR : Bukhari dan Muslim)
Puasa Ramadhan merupakan media yang sangat efektif untuk melatih kesabaran. Betapa manusia beriman selama satu bulan penuh dilatih untuk sabar serta mampu menahan diri, tidak melakukan hal-hal yang menjejaskan pahala puasanya. Justeru kemuncak pasca ramadhan adalah dibebaskan dari api neraka dan terbinanya muslim yang lebih kuat dan bersih serta menjadi generasi yang bertaqwa.
Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,
KESIMPULAN :
Oleh itu disepanjang Ramadhan ini mari kita tumbuh mekarkan sabar dalam jiwa kita, kita pupuk kesabaran agar kita mampu menghadapi cabaran kehidupan hari ini dan hari esok dengan jiwa mukmin yang penuh dengan kesabaran agar kita mampu melaksanakan perintah Allah SWT baik dalam suka mahupun duka, dimana saja kita berada, serta mampu menjauhi maksiat atau larangan-Nya sehingga kita menjadi muslim yang 'Muttaqin.'
Wallahu a'lam - Sabarjer lah. Ukay's
Whatsapp posting by:
Haji Azhari Well Mohamad

No comments:

Post a Comment